Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu kurang memiliki minat yang tinggi untuk menjejaki jurai keturunan atau salasilah keluarga mereka sendiri. Barang kali mereka beranggapan tiada sebarang faedah atau manfaat sekiranya mereka menyelidiki secara lebih mendalam tentang keluarga mereka. Kecenderungan menyimpan atau menulis rekod-rekod salasilah boleh dikatakan hanya terdapat dalam kalangan pemerintah khasnya golongan kerabat diraja atau pembesar-pembesar negeri. Tujuan penulisannya barang kali tidak lebih untuk menyatakan keabsahan pemerintahan mereka di sesebuah negeri atau jajahan taklukan mereka. Selain itu, terdapat juga segelintir masyarakat yang menyusun salasilah adalah bertujuan semata-mata ingin menuntut takhta kerajaan, kuasa atau harta perwarisan untuk diwarisi oleh generasi seterusnya.
Perkataan ‘salasilah’ berasal daripada kosa kata bahasa Arab yang bermaksud “daftar keturunan atau jurai keturunan”. Ensiklopedia Islam (2004), halaman 250 mendefinisikan salasilah sebagai “daftar atau susunan asal-usul keturunan, biasanya dimulai daripada tokoh yang dianggap penting dan dihormati yang memiliki nilai sejarah”.
Pengetahuan tentang salasilah dianggap sebagai salah satu cabang ilmu yang penting khasnya dalam bidang sejarah dan ia dikatalogkan sebagai bidang sains sosial. Berdasarkan pengertian yang sempit, ilmu salasilah ini merupakan kajian berkenaan individu dan hubungannya dalam sesebuah keluarga. Walau bagaimanapun, sekiranya kita memahami pengertiannya yang luas, ilmu salasilah ini merangkumi kajian yang mendalam tentang sejarah, biografi, geografi, sosiologi, undang-undang, perubatan, linguistik dan sebagainya. Kita sewajarnya berpegang kepada takrifan yang luas kerana kita bukan hanya sekadar ingin mengetahui nama dan tarikh penting yang dilalui nenek moyang kita sahaja, tetapi juga corak kehidupan mereka serta sumbangan mereka terhadap agama, bangsa dan negara mereka. Apa yang lebih penting ialah pengkajian tentang ilmu salasilah keluarga mampu memupuk jati diri seseorang individu.
Pengkajian terhadap ilmu salasilah juga memerlukan pengorbanan yang besar kerana para pengkaji dalam bidang ini terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting daripada ahli keluarga yang dikenali atau tidak. Maklumat-maklumat yang diperoleh itu sama ada maklumat lisan atau sumber bertulis perlu dipastikan kesahihannya agar tidak dipertikaikan oleh pihak-pihak lain yang mempunyai autoriti.
Justeru, penulisan salasilah perlu diberi keutamaan sekiranya seseorang itu ingin menjejaki semula sejarah asal-usul keturunannya. Tambahan pula, salasilah keturunan seseorang itu amat penting diketahui dalam masyarakat yang bertamadun. Menjejaki asal-usul keturunan seseorang boleh memberi manfaat kepada penerusan hubungan silaturahim antara kaum kerabat. Pengekalan hubungan silaturahim sesama kaum kerabat pula sangat dituntut oleh Islam.
ALLAH S.W.T. berfirman:
“Dan bertakwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat...”
(Surah an-Nisa’: 1)
Sumber is150.net
No comments:
Post a Comment