Kami dah kenal lima tahun lalu’
Oleh Norliza Abdullaham@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Persahabatan kami terjalin lima tahun lalu, namun ketika itu hanya sebagai kawan biasa. Tanpa disedari ia menjadi akrab dan bertukar mesra sejak dua tahun kebelakangan ini,” akui gadis manis yang berjaya bertakhta di hati Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, 35.
Dr Halina Mohd Yunos, 27, berkata dia selesa berkawan dengan Dr Sheikh Muszaphar dan menganggap lelaki hebat itu sebagai seorang yang baik budi pekertinya dan bersifat merendah diri.
Menurutnya, pertemuan pertama mereka berlaku ketika dia baru memulakan pengajian dalam jurusan perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Dr Sheikh Muszaphar mengikuti pengajian perubatan lanjutan.
Perkenalan awal katanya, hanya berkisar mengenai perbincangan pelajaran serta tugasan di makmal dan tidak lebih daripada itu, namun tanpa disedari, lama kelamaan ia membuahkan bibit cinta.
“Malah keluarga kedua-dua belah pihak juga mengetahui hubungan kami sejak awal ia terjalin,” katanya yang seolah-olah bersedia dengan soalan yang bakal diajukan wartawan.
Jika Dr Halina bukan gadis pilihan Dr Sheikh Muszaphar yang baru-baru ini mengumumkan akan menamatkan zaman bujangnya dalam tempoh terdekat, pasti dia tidak akan membawa wanita itu pada majlis yang dikhaskan untuk meraikan media.
Pasangan itu memeranjatkan hadirin pada Majlis Malam Media anjuran UKM di Hotel Nikko, Jalan Ampang di sini, malam tadi.
Mereka muncul dalam dewan kira-kira jam 10.45 malam dan terus menuju meja utama sebelum bersalaman dengan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin.
Ketika itu, Dr Sheikh Muszaphar berpegangan tangan dengan Dr Halina dan kemudian naik ke pentas apabila jurufoto media meminta untuk merakamkan gambar mereka berdua.
Pakaian sedondon hijau yang digayakan pasangan itu menggambarkan mereka mempunyai cita rasa sama dan sedia berkongsi hidup.
Dr Halina, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, kini bertugas sebagai pegawai aestetik di Pusat Kecergasan Wanita PrimaNora di Taman Tun Dr Ismail di sini, berkata kali terakhir dia mengunjungi keluarga Dr Sheikh Muszaphar semalam (kelmarin) dan menyifatkan keluarga teman lelakinya berhemah tinggi.
Nada suaranya yang sentiasa ceria memberi gambaran keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan murni mereka.
Ditanya sama ada mereka akan menamatkan zaman bujang dalam tempoh terdekat, Dr Halina dengan nada suara perlahan berkata, soalan itu perlu diajukan kepada Dr Sheikh Muszaphar sendiri.
Sesuai dengan kerjaya yang disandang, penampilan ringkas Dr Halina dengan baju kurung dilengkapi rantai labuh dan sepasang subang gantung menyerlahkan lagi penampilannya.
Dr Sheikh Muszaphar pula ketika diajukan pertanyaan mengenai hubungan istimewanya begitu berhati-hati menjawab dengan berkata, beliau akan membuat pengumuman rasmi mengenainya tidak lama lagi.
Bagaimanapun, katanya buat masa kini, dia sibuk memberi tumpuan kepada tugasan terutama dalam menyiapkan hasil penyelidikan ketika di angkasa.
Sekembali dari Amsterdam, Belanda, Selasa lalu, Dr Sheikh Muszhapar dilaporkan memberitahu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Jamaluddin Jarjis, beliau akan bertunang tahun depan.
Sementara itu, Dr Jamaluddin mengesahkan angkasawan pertama negara itu akan mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita tempatan, tahun depan.
“Saya berjumpa Sheikh Muszaphar semalam (kelmarin), sekembalinya dari Amsterdam dan beliau mengesahkan perkara itu,” katanya pada sidang media mengenai Pameran dan Persidangan Inovasi Kebangsaan 2007 di sini, semalam.
“Sheikh Muszaphar juga memaklumkan yang beliau sudah mengenali pilihan hatinya itu lebih lima tahun,” katanya yang enggan mengulas tarikh pertunangan itu.
p/s : Halina, congrats. Jangan lupa jemput tau :)
No comments:
Post a Comment