Pada zaman dahulu kira-kira pada kurun ke-16 yang lalu, tinggallah seorang ibu dengan empat belas orang anaknya yang berasal dari Negeri Sembilan di Benua Eropah. Mereka menyara hidup dengan bermain bola sepak menentang kelab-kelab bola sepak yang ada di sana.
Bapa mereka telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan untuk pergi ke Benua Eropah beberapa tahun lepas. Jadi ibu merekalah yang menjadi pengurus bola sepak bagi anak-anaknya.
Pada satu hari mereka terdengar kabar angin mengatakan bahawa pertandingan bola sepak Benua Eropah akan berlangsung tidak lama lagi. Jadi pertandingan diadakan untuk memilih pasukan manakah yang akan mewakili negara tersebut.
Setelah berbincang dan mendapat kata sepakat, mereka bersetujulah untuk mencuba nasib. Maka berlatihlah mereka sekerap mungkin untuk mewakili negara tersebut.
Nak dijadikan cerita, sampailah mereka ke pertandingan akhir. Jika mereka menang, mereka akan mewakili negara itu. Seperti biasa, ibunya akan memastikan kesemua anaknya ada di situ dan dalam keadaan baik. Maka dipanggillah seorang demi seorang.
"Along.. ado tak?
"Den mak."
"Alang?"
"Den mak."
"Angah?"
"Den mak."
Kebetulan pada masa itu, urusetia pertandingan lalu dan terdengar mereka menyebut 'Den Mak' berkali-kali. Beliau yang tidak tahu langsung Bahasa Negeri Sembilan berminat benar dengan perkataan 'Den Mak' yang mereka sebutkan tadi lalu dipanggillah mereka dengan nama "Denmark". Setelah selesai perlawanan, pasukan "Denmark" menang dan mewakili negara itu. Memandangkan negara itu masih belum ada nama yang sesuai maka negara itu juga dinamakan "Denmark" sempena nama pasukan bola sepak yang berasal dari Negeri Sembilan itu.